Cerita ini adalah rekaan semata-mata. Ia tiada kena mengena dengan yang hidup ataupun yang telah meninggal dunia.
Jika ada persamaan dalam hidup anda dengan cerita ini, kami minta maaf. Dan ia hanya mungkin kebetulan sahaja.
Harap maklom.
Thursday, October 27, 2005
Semalam dia menelefon aku lagi. Kali ini kami banyak berbual tentang diri masing-masing semasa di sekolah menengah. Sungguh seronok masa sekolah dahulu. Aku teringat zaman persekolahanku dahulu. Zaman kanak-kanak kental. Sentiasa ceria. Pasal cikgu kena buli. Masuk pertandingan. Beraksi di atas pentas. Hish..macam-macam! Rasanya baru semalam aku tinggalkan alam persekolahan. Walhal sebenarnya sudah hampir sebulan.
Aku tiba-tiba teringatkan kawan karibku yang bertiga itu. Eliza, Nadzirah dan Shani.Kami selalu bersama dalam apa jua aktiviti yang dilakukan. Tetapi kami mempunyai perangai yang agak berbeza. Eliza orangnya pendiam. Tetapi apabila diajak berbual dialah yang paling lantang sekali. Siap dengan senda gurauannya yang membuat kami semua ketawa geli hati. Nadzirah pula nakal budaknya. Dia suka buli kami bertiga. Tetapi aku yang selalunya menjadi mangsa. Disebabkan saiz badanku yang agak kecil daripada mereka yang tinggi lampai bak buluh.Namun begitu aku tidak berasa tersinggung dengan perbuatannya kerana aku sudah lali dengan kenakalannya. Malah aku rasa seronok dibuli olehnya.
Aku masih ingat lagi pada mula-mulanya Nadzirah membuliku. Dia suka menarik rambutku yang agak panjang ketika itu.Dia kata aku macam samurai. Ikat rambut tinggi-tinggi. Aku tidak endah dengan kata-katanya. Pada dasarnya dia cemburu melihat aku mempunyai rambut yang panjang kerana dia mempunyai rambut yang agak pendek. Kemudiannya dia akan menarik ikatan rambutku menyebabkan rambut ku terburai. Setelah dia berjaya mendapatkan getah rambutku, dia akan berlari jauh-jauh sehingga aku perlu mengejarnya kesana dan kemari macam budak-budak tadika. Satu sekolah melihat kami berdua yang berperangai macam budak-budak. Aku malu diperlakukan begitu. Akhirnya aku mendapatkannya juga. Dia ingat aku tak penat ke berkejaran sambil memegang rambutku yang panjang itu.
Disebabkan perkara itu aku berhasrat tidak mahu berkawan dengannya lagi. Aku merajuk dengannya sampaikan dia tanyakan aku mengapa, dan aku hanya berbuat bodoh dengannya. Aku anggap dia seperti tunggul kayu. Dia terkulat-kulat melihat perubahan pada diriku itu. Nadzirah akhirnya mengadu pada Eliza. Dia tahu Eliza dapat menolongnya kerana Eliza adalah teman baikku. Namun Eliza tidak pernah memberitahuku tentang aduan Nadzirah. Aku kagum dengan pendirian Eliza kerana dia pandai ambil hati kawan. Dia bijak menyelesaikan masalah. Sebab itu aku suka berkawan dengannya. Aku berasa senang bila bersamanya.
Akhirnya, Eliza yang mendamaikan kami semula. Dia memberikan kami nasihat. Namun selepas itu aku tidak ambil hati lagi pada Nadzirah walaupun dia masih tetap dengan perangainya yang dulu. Sementara Shani pula, dia lebih suka mendengar perbualan orang. Dan dia juga lasak orangnya. Apa tidaknya, dia memasuki Pasukan Kebangsaan Kadet Polis. Dia juga senang diajak berbual. Shani cantik orangnya. Dia kelihatan seperti orang serani walhal dia mempunyai darah orang india. Satu keistimewaan yang ada pada Shani ialah senyuman manisnya tidak pernah lekang dari bibirnya yang cute itu.
Itulah kisah kami di zaman persekolahan dahulu. Kalau seorang daripada kami tidak hadir ke sekolah rasanya kumpulan kami tidak lengkap. Kami sudah menganggap diri masing-masing seperti adik-beradik. Aku terutama sekali yang selalu menjadi ketua dalam kumpulan kami kerana akulah yang paling tua. Kalau ada apa-apa masalah mereka akan selalu merujuk kepadaku. Mereka selalu kata yang aku ini penyayang dan penyabar orangnya. Aku tidak dapat menafikannya. Itu pandangan mereka terhadapku. Begitu juga dengan guru-guruku. Mereka suka padaku bukan kerana aku mempunyai penyakit ginjal tetapi aku memang agak aktif di kelas.
Lucu sungguh apabila diingati kembali zaman persekolahan menengah dulu. Ribut satu kelas dengan perangai masing-masing.Tak terkawal guru yang mengajar kami.Namun semua itu hanya dapat disimpan dalam kotak memori ini.
4:16 PM