Cerita ini adalah rekaan semata-mata. Ia tiada kena mengena dengan yang hidup ataupun yang telah meninggal dunia.
Jika ada persamaan dalam hidup anda dengan cerita ini, kami minta maaf. Dan ia hanya mungkin kebetulan sahaja.
Harap maklom.
Thursday, October 27, 2005
Aku ke Restaurant Tepak Sirih bersama keluargaku selepas menjalani dialisis di hospital pada petang itu.Aku sekeluarga dijemput untuk ke pesta Hari Raya Puasa bersama umat Islam yang hadir pada malam itu. Walaupun di pesta itu dilengkapi dengan pelbagai acara, aku tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pertunjukkan yang diadakan itu. Fikiranku seolah-olah tiada di situ. Fikiranku melayang, mengenangkan orang yang baru aku kenali itu.
“Oik...termenung aje dari tadi. Jomlah ambik makanan. “ Tempelak kakakku yang telah lama perasan akan kelakuanku.
Aku kembali ke alam nyata.Alah...Kacau daun betullah kakak ni. Tak senang tengok orang senang-senang sikit. Ada sahaja. Aku menarik muka masam sambil membontoti kakakku ke meja yang penuhi dengan bermacam-macam lauk. Hidangan itu dihidangkan secara buffet. Terpaksalah kami memilih cita-rasa sendiri. Walaupun banyak lauk kegemaranku terdapat di atas meja itu, rasa seleraku bagaikan tertutup untuk mengisi makanan-makanan itu ke dalam perutku yang sememangnya dari tadi asyik bermain lagu keroncong.
Pesta itu ditamatkan dengan sebuah ucapan pendek dan penyampaian hadiah bagi mereka-mereka yang mengambil bahagian dalam upacara itu. Ada permainan mengamyam ketupat bagi makcik-makcik dan pakcik-pakcik yang ada di situ. Untuk kanak-kanak pulak mereka adakan permainan meniup belon sampai pecah. Hmm...tak seronok betul. Boring! Aku rasakan mahu sahaja aku mengundur diri untuk pulang ke rumah, berbaring di atas katilku yang empok itu.
Setelah bapaku bersalam-salaman dengan beberapa kawan-kawannya yang juga dijemput di pesta itu, barulah kami memasuki ke perut kereta berjenama Mazda itu lalu menuju ke rumah. Semuanya kelihatan letih. Lebih-lebih lagi mama yang dari tadi, asyik melayani kerenah adik saudara kembarku, Syafiq dan Amalina, yang kebetulan berada di situ juga. Dengar-dengar pakcik Ramli nak datang rumah. Katanya nak berbincang pasal rumah barunya yang tak lama lagi akan siap pada hujung bulan ni. Hmm...tak penat-penat lagi ke? Macam tak ada hari esok pulak.
Apabila sampai di rumah, aku cepat-cepat masuk ke bilik untuk berehat seketika. Badanku terlalu letih. Yelah, apa taknya. Pagi tadi pergi hospital, duduk di atas kerusi sampai lima jam. Habis tu duduk kat restaurant tadi entah berapa jam. Siapa yang tak penat kalau macam tu?
Tidak berapa lama aku melelapkan mata, telefon bimbitku berdering. Nada lagu “Welcome To My Life” dari Simple Plan kedengaran di bilik yang sepi itu. Aku dengan malasnya mencapai beg tanganku lalu mencari telefon bimbitku yang tersembunyi di celah-celah begku itu. Apabila aku sudah mendapatkannya, aku melihat skrin telefon bimbitku untuk mengetahui siapa yang menelefon. Aku dapat merasakan degupan jantung yang kuat.Berdebar rasa hatiku apabila melihat namanya terpampang di skrin telefon. Aku masih terfikir-fikir sama ada mahu menjawab panggilan itu atau tidak. Akhirnya, aku menjawabnya juga.
“Assalamualaikum...”
4:38 PM